Saturday, January 14, 2012

PRU: Diadakan selepas pembaharuan ekonomi beri kesan

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau berharap pilihan raya umum (PRU) akan dapat diadakan “tidak lama lagi”, tetapi menurutnya kerajaan masih perlu membuktikan bahawa pembaharuan ekonomi berjaya memberikan kesan sebenar sebelum beliau bersedia mengembalikan semula kuasa kepada rakyat.

Dalam satu wawancara yang diterbitkan Wall Street Journal hari ini, Najib berkata, secara dasarnya “pilihan raya adalah satu tindakan yang perlu dilakukan berasaskan faktor keyakinan, dan ketika itulah anda melakukannya. Tetapi akhirnya ia adalah suatu keputusan yang mengikut gerak hati.

"Anda boleh memiliki semua tarikh tetapi anda mesti merasakan bahawa inilah masa yang sesuai. Saya berharap ia akan menjadi satu masa yang tepat tidak lama lagi, tetapi kami masih perlu mengotakan janji-janji kami dan ini amat penting kepada rakyat untuk merasakan bahawa pembaharuan yang dijanjikan sebenarnya memberi manfaat kepada mereka,” kata beliau.

Dalam wawancara itu, Najib dilaporkan sebagai mengakui bahawa suasana ekonomi global yang merosot terutamanya krisis hutang yang berterusan di Eropah boleh menyukarkan beliau membuat keputusan berhubung bila pilihan raya boleh diadakan.

Laporan itu menyebut ramalan ekonomi yang semakin merudum juga boleh menyebabkan Najib membubarkan Parlimen, sekali gus memberi laluan pilihan raya diadakan lebih cepat daripada yang dirancang. – BERNAMA

No comments: