Saturday, January 7, 2012

Umno Semakin Demokratik, -PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Anggota Umno perlu berubah seiring keadaan semasa yang menyaksikan parti itu lebih demokratik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata mereka perlu berubah bagi meraih keyakinan generasi pasca merdeka.

"Mereka yang lahir pasca merdeka tidak merasai pengalaman lalu... mereka cuma nak tahu apa yang Umno hendak buat hari ini dan akan datang, dan mereka tidak suka diingatkan bahawa budi yang lepas perlu dibalas," katanya ketika berucap pada majlis penghargaan untuk media yang membuat liputan Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata parti itu tidak lagi boleh bersandar kepada sejarah semata-mata walaupun ia banyak berjasa kepada negara kerana generasi hari ini tidak dapat menyelami perkara tersebut.

"Walaupun ia (Umno) begitu cemerlang dan tidak tertanding, tetapi kita kena bersikap realistik dan melihat ke hadapan kerana ada perubahan dalam landskap politik tanah air dan dunia," katanya.

Beliau menegaskan Umno mempunyai iltizam politik untuk menjadi parti terbaik dan pemimpin negara selepas memperoleh kepercayaan rakyat.

Sehubungan itu, Najib meminta anggota Umno berusaha lebih gigih bagi membuktikan ia layak menjadi parti tunggak di negara ini.

"Saya akui kita masih ada ruang untuk membuat penambahbaikan selain membaiki kelemahan yang ada. Kita boleh lakukan perubahan daripada segi perlembagaan (parti) yang membawa kepada perubahan struktur dan membuat keputusan serta kepimpinan.

"Tetapi akhirnya, perubahan itu perlu dibuat oleh orang Umno itu sendiri," katanya pada majlis yang dihadiri 1,000 orang termasuk wakil media.

Najib juga berkata media memainkan peranan penting untuk menjelaskan mesej perjuangan Umno kepada rakyat.

Katanya, kebanyakan media Malaysia mengutamakan soal kepentingan, ketenteraman dan kestabilan negara dalam laporan mereka.

-- BERNAMA

No comments: