BUTTERWORTH 4 Ogos - Seorang pemandu lori hari ini berkata, anaknya berusia 15 tahun telah diperguna untuk menyertai demonstrasi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara pada Sabtu lepas.
Abdul Aziz Ibrahim, 45, berkata, anaknya Muhamad Azreen dibawa oleh penganjur dari sebuah parti pembangkang tanpa kebenarannya.
Bagaimanapun, menurut Abdul Aziz, anaknya dan 25 lagi peserta yang mengikuti rombongan itu terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bukit Beruntung tidak jauh dari Kuala Lumpur pada 6 pagi Sabtu lepas.
"Anak saya cedera di bahagian mata kanan dan mulut. Pihak penganjur bersikap lepas tangan selepas kejadian itu," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini.
Beliau berkata, anaknya dan beberapa peserta lagi yang cedera dirawat di Hospital Sungai Buloh dan Muhamad Azreen dihantar pulang ke rumah di Permatang Rawa pada pagi Ahad lepas.
"Semalam wakil penganjur bawa anak saya ke hospital di sini tetapi hari ini kami terpaksa membawa Azreen sendiri ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Abdul Aziz berkata, beliau tidak pernah memberi kebenaran untuk anaknya menyertai sebuah unit dalam parti pembangkang itu mahupun untuk menyertai demonstrasi itu.
"Anak saya tidak pernah ke Kuala Lumpur, sebab itu dia beriya-iya sangat untuk pergi apabila diberi peluang," katanya.
Muhamad Azreen pula berkata, 20 daripada peserta rombongan yang terdiri pelbagai lapisan umur itu adalah penduduk kampung dan enam lagi merupakan orang luar.
"Saya dibayar RM35 untuk mengikuti rombongan itu dan saya diberitahu oleh penganjur bahawa kami pergi untuk menjaga keselamatan dan kami diberi sehelai baju berwarna merah untuk dipakai," kata pelajar Sekolah Menengah Permatang Rawa itu.
Muhamad Azreen yang menyertai unit itu sejak tiga tahun lepas berkata, dua peserta rombongan itu mengalami kecederaan teruk dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh.
Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Seberang Jaya, Arif Shah Omar Shah yang melawat Muhamad Azreen di rumahnya, menasihati ibu bapa membuat laporan polis jika mendapati anak mereka dipergunakan untuk tujuan demonstrasi itu.
Sabtu lepas, sekitar 10,000 orang menyertai perarakan dan perhimpunan haram di ibu negara membantah ISA. - Bernama
Lepas tuh dok cakap orang lain rasuah la apa la......perosak pemikiran anak bangsa.....Melayu Mudah Lupa...
-pemikir-
No comments:
Post a Comment