Wednesday, July 14, 2010

SELANGOR DIAMBANG KEMUSNAHAN KERANA PKR II

SKANDAL PASIR DI SELANGOR


SHAH ALAM 12 Julai - Kegiatan melombong pasir dekat taman rekreasi Paya Indah Wetlands, Dengkel, Sepang yang dibongkarkan media semalam sememangnya diketahui kerajaan negeri dan dikendalikan oleh Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kegiatan tersebut mempunyai permit sah dan lokasi sebenarnya terletak di Kampung Olak Lempit di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat dan bukannya di Bukit Changgang seperti dilaporkan media.

Menurut beliau, permit melombong pasir di kawasan itu dikeluarkan pentadbir tanah Kuala Langat sejak Januari 2010 selepas mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Daerah Kuala Langat dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat.

"Kelulusan dari jabatan ini diperoleh selepas Skim Melombong dan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diluluskan jabatan-jabatan ini.

"Operasi melombong dijalankan selepas JAS dan LUAS berpuas hati dengan EMP yang disediakan oleh KSSB.

"Antara kandungan EMP adalah operasi perlombongan KSSB tidak menjejaskan alam sekitar termasuk di Paya Indah Wetlands," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri di sini petang ini.

Beliau mendakwa, syarikat Enviro Enhance Sdn. Bhd., konsultan alam sekitar untuk kerajaan negeri juga bertanggungjawab menghantar laporan setiap bulan kepada JAS.

Menteri Besar berkata, KSSB juga menyediakan zon penampan selebar 20 meter dari sempadan kawasan melombong.

"Kecerunan tebing yang landai dengan purata 27 darjah disediakan untuk memastikan tebing tidak runtuh dan membahayakan pekerja serta alam sekitar. Ini adalah mengikut Skim Melombong yang memenuhi syarat JMG," katanya.

Katanya, lombong KSSB ini adalah berkeluasan 120 ekar, bukannya 120 hektar (250 ekar) seperti yang dilaporkan oleh akhbar.

Projek yang berjalan kini adalah untuk operasi fasa pertama yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 60 ekar (24 hektar), sementara operasi fasa kedua pula sedang dalam proses pembersihan kawasan.

Kata beliau, kerja-kerja melombong telah diberikan kepada syarikat kontraktor, Cheong Weng Trading yang berpengalaman selama 15 tahun dalam industri pasir.

"Semenjak operasi bermula pada Januari 2010, sebanyak 400,000 tan metrik pasir telah dijual dengan pendapatan sekitar RM7 juta, bukannya 10 juta tan pasir bernilai RM220 juta seperti yang dilaporkan akhbar.

"Adalah tidak munasabah untuk mengeluarkan 10 juta tan pasir dalam masa dua minggu seperti yang dilaporkan kerana untuk mengeluarkan pasir sebanyak itu memerlukan lebih 500,000 muatan lori.

"Jentera-jentera dan peralatan melombong (sedia ada) tidak berkemampuan untuk mengeluarkan 10 juta tan pasir dalam masa dua minggu," dakwanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri berterima kasih kepada mereka yang prihatin dengan kejadian curi pasir dan mencuba sedaya upaya untuk membanteras jenayah ini supaya negeri tidak terus kerugian.

Jelas beliau, pentadbir tanah telah mengenal pasti kawasan-kawasan kecurian pasir seluruh Selangor termasuklah di Bukit Canggang dan sedang mengambil tindakan termasuk memberi Notis 7A di bawah Kanun Tanah Negara.

No comments: