Thursday, July 15, 2010

SELANGOR KINI HANCUR DITANGAN PKR

SHAH ALAM 14 Julai – Kerajaan negeri Selangor yang dilihat gagal menangani isu kecurian pasir di negeri itu kini cuba menyeret Kerajaan Pusat dalam kontroversi tersebut.

Ia terbukti apabila Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan surat kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meminta kerjasama Kerajaan Pusat untuk membantu menyelesaikan isu tersebut.

Apa yang menimbulkan persoalan terhadap keikhlasan kerajaan negeri memohon kerjasama berkenaan ialah dalam surat tersebut hanya menyertakan senarai syarikat yang terlibat sebelum 2008 dan bukan selepas pakatan pembangkang memerintah Selangor.

Selain itu, Khalid juga dilihat cuba ‘menutupi’ kelemahan pentadbirannya dalam menangani isu berkenaan apabila surat tersebut hanya mengandungi penjelasan bahawa kegiatan haram itu sudah berlaku secara berleluasa sebelum 2008.

‘‘Maklumat yang ada mengenai kegiatan curi pasir juga disertakan untuk rujukan beliau selain agensi-agensi berkenaan bagi tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Selain Muhyiddin, Abdul Khalid memberitahu, surat berkenaan turut dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Semalam, Muhyiddin menyifatkan kerajaan Selangor pimpinan Abdul Khalid tidak mampu menguruskan isu kecurian pasir di negeri itu berikutan melibatkan kawasan seluas 400 hektar berhampiran Taman Paya Indah Wetlands.

Muhyiddin berkata, isu tersebut seperti terabai kerana kerajaan negeri tidak mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terlibat sehingga menjejaskan ekosistem di kawasan berkenan.

Malah, Timbalan Perdana Menteri turut mempertikaikan kerajaan negeri yang sering mengatakan kerajaan pimpinan mereka yang paling bersih tetapi isu berkenaan tidak dapat ditangani kerana mungkin wujudnya elemen rasuah atau subahat.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut mengakui bahawa pengurusan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., (KSSB) boleh diperkemaskan dalam mengendalikan operasi perlombongan pasir di Selangor.

Katanya, langkah tersebut mungkin dapat dilaksanakan berikutan masalah yang berlaku hanya melibatkan aktiviti perlombongan pasir di negeri itu yang boleh dipantau oleh syarikat berkenaan.

-UTUSAN

No comments: