KUALA LUMPUR 21 Julai – Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) membuat tawaran khas kepada pelajar-pelajar Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) yang berkelayakan untuk menyambung pengajian mereka di institusi tersebut.
Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, tawaran itu bertujuan untuk membantu golongan pelajar tersebut yang menjadi mangsa ekoran tindakan Kerajaan Negeri Selangor menutup IKYS atas alasan tidak menguntungkan.
Sambil menyifatkan para pelajar tersebut menjadi mangsa kerakusan dan sikap tidak peka Kerajaan Negeri Selangor, beliau memberitahu, KPTM sedia memberi peluang serta kelonggaran kepada ibu bapa sewaktu pendaftaran.
“Pelajar boleh datang terus ke kolej kami yang terletak di Cheras untuk membuat pendaftaran dan mendapatkan maklumat lanjut tentang pelbagai kursus yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai penutupan itu, Sohaimi yang juga Exco Pemuda UMNO berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim harus dipertanggungjawabkan kerana mengkhianati rakyat Selangor dengan menutup peluang pelajaran khususnya bagi anak- anak Melayu yang berada di luar bandar.
‘‘Kalau pun kerajaan negeri hendak berpolitik dan mahu terus ‘bergaduh’ dengan Yayasan Selangor, janganlah ia melibatkan masa depan pelajar-pelajar IKYS. Bagi kita, ini adalah satu tindakan yang tidak wajar dan tidak professional,” katanya
Beliau berkata, Abdul Khalid sepatutnya perlu lebih kreatif mengurus dan menjana pendapatan IKYS bagi menampung kos pentadbiran, bukannya mengambil jalan mudah dengan menutup institusi tersebut walaupun organisasi berkenaan mengalami kerugian.
“Sebagai pengerusi KPTM, saya berasa terharu dan bersimpati terhadap nasib pelajar-pelajar IKYS di atas tindakan drastik kerajaan negeri kerana sepatutnya ia menjadi tanggungjawab sosial yang harus dipikul.
“Abdul Khalid tidak sepatutnya melihat kepada soal kerugian semata-mata kerana pendidikan adalah pelaburan jangka panjang untuk anak-anak Melayu,” jelasnya.
Tegas beliau, kerajaan Selangor sepatutnya perlu lebih peka dan prihatin untuk menubuhkan pusat pendidikan di luar bandar dan bukan membunuh peluang serta semangat anak Melayu untuk terus maju.
Sehubungan itu, Sohaimi meminta kepada pelajar yang berminat untuk menyambung pengajian di KPTM boleh melayari laman web kolej itu di www.kptm.edu.my.
No comments:
Post a Comment