Pelajar terlibat mendakwa, mereka hanya mengetahui tentang penutupan institut tersebut dan arahan berpindah ke Kolej Antarabangsa Inpens (Inpens) di Kuala Selangor minggu lalu selepas menghabiskan cuti semester baru-baru ini.
Selain beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) yang diketuai Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, waris keluarga pelajar terlibat turut menyertai perhimpunan hampir dua jam yang bermula pukul 10.30 pagi itu di pekarangan IKYS Bagan Terap..
Penutupan IKYS yang kebanyakan pelajarnya berasal daripada keluarga berpendapatan rendah, disifatkan mereka sebagai tindakan zalim kerajaan negeri.
Malah kata mereka, ia juga menunjukkan kerajaan negeri tidak prihatin terhadap nasib dan masa depan pelajar miskin yang ingin menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran.
Menurut Ketua Pelajar IKYS, Mohd. Farhan Kamaluddin, 19, dia yang mewakili kira-kira 250 pelajar institut itu terkejut dengan keputusan kerajaan negeri yang dipercayai dibuat ketika mereka sedang bercuti dan tanpa sebab munasabah.
Dia yang kini menjalani latihan praktikal, berkata, langkah itu merupakan satu tindakan kejam apatah lagi memaksa pelajar terlibat bertukar ke Kolej Antarabangsa Inpens.
‘‘Jumaat lalu kami datang tetapi tidak dibenarkan masuk dan hari ini kami diminta ambil semua barang dan esok daftar ke Inpens.
‘‘Kami tak mahu kerana kami suka belajar di IKYS. Di sini kemudahan belajar lengkap dan sistem belajarnya juga bagus serta sesuai dengan kami yang berminat dalam bidang elektrikal.
‘‘Lagi pun apabila berpindah ke Inpens, ia melibatkan kos. Yuran di sini sudah dibayar jadi rugilah kerana kami bukan orang senang,” katanya yang berasal dari Meru, Klang.
Mohd. Farhan yang mengikuti kursus pendawaian elektrik di IKYS sejak Julai tahun lalu berharap kerajaan negeri menarik balik keputusan itu demi kebaikan pelajar.
Rakannya, Norazizi Subari, 21, yang berasal dari sini berkata, perpindahan ke Inpens akan menyusahkannya dan rakan-rakan yang menetap di sekitar Sabak Bernam.
Katanya, ia juga menyukarkan pelajar yang hampir tamat kursus sepertinya.
‘‘Lagi beberapa bulan sahaja nak habis belajar. Macam mana dengan sijil saya dan kawan-kawan nanti. Sijil daripada IKYS atau Inpens ?
‘‘Kami nak sijil IKYS kerana lebih mudah dapat kerja, Inpens kami tak tahulah,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Azwar Ahmad, 18, yang baru mendaftar minggu lalu dan sedang menjalani minggu orientasi berkata, dia berasa tertipu kerana selepas mendaftar baru diberitahu akan ditukar ke Inpens.
‘‘Kenapa tak beritahu awal-awal, tak payahlah saya datang belajar di sini. Saya datang kerana mahu menuntut di IKYS bukan Inpens,” katanya.
Bapa kepada seorang pelajar IKYS, Salim Ali, 42, pula berkata, tindakan kerajaan negeri itu menyusah dan membebankan ibu bapa kerana selepas ini mereka terpaksa menguruskan anak-anak ke Inpens pula.
‘‘Dah elok-elok belajar di IKYS, kerajaan negeri tutup pula padahal di sini semuanya lengkap. Kenapa kerajaan negeri buat sesuka hati tanpa memikirkan nasib pelajar dan keluarga mereka yang kurang berkemampuan,” katanya kesal.
IKYS dibina dengan kos RM25 juta di kampus tetapnya di Bagan Terap, Sabak Bernam selepas berpindah dari kampus sementaranya di Kuala Selangor. Dulu namanya adalah Institut Kemahiran Selangor sebelum ditukar kepada IKYS pada 2005.
Ketika ini, IKYS menawarkan pelbagai kursus kemahiran antaranya pendawaian satu fasa secara sepenuh masa, teknologi penyejukan dan penyaman udara domestik secara sepenuh masa.
Turut ditawarkan adalah kursus pendawaian tiga fasa secara separuh masa, program kawalan motor secara separuh masa dan program intensif peperiksaan yang mendapat pengiktirafan Suruhanjaya Tenaga Malaysia (STM).
No comments:
Post a Comment